KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengajak rakyat supaya cakna dan berwaspada terhadap risiko ancaman seperti jenayah siber, penyebaran berita palsu yang boleh menggugat keharmonian.
Beliau berkata, rakyat jangan sesekali memilih bersikap ekstrim khususnya dalam melontarkan pendapatan di dalam medium sosial media sebagai contoh, kerana dikhuatiri boleh mengundang ancaman, hasutan dan kerisauan dalam masyarakat.
“Sikap demikian jelas sekali tidak diterima dalam kalangan masyarakat Sarawak kerana ternyata ia merugikan,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2025 di sini.
Beliau berkata, sikap tersebut juga boleh menyumbang kepada keruntuhan perpaduan dalam sosiobudaya masyarakat majmuk di negeri ini.
Dalam konteks masyarakat di Sarawak, katanya, setiap perbezaan kehidupan, budaya dan kepercayaan, tidak seharusnya mengasingkan rakyat.
Rasa hormat dan meraikan perayaan daripada kaum lain, tambah beliau, akan membuat rakyat lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain yang akan melahirkan sifat bantu-membantu dalam banyak perkara.
Konsep inklusiviti dalam kepelbagaian kaum inilah juga kekuatan masyarakat Sarawak yang menjurus kepada penerapan nilai ‘satu keluarga’, tegas beliau.
“Saya sentiasa percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain,” katanya.
Yang di-Pertua Negeri menegaskan, sebagai rakyat yang cintakan tanah air, semuanya mempunyai peranan dalam mengekalkan keselamatan secara umum lebih-lebih lagi dalam kelompok masyarakat majmuk.
Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, katanya, sentiasa komited dan bertekad memberi keutamaan kepada penyediaan pendidikan berkualiti kepada semua anak Sarawak.
Agenda pendidikan berkualiti adalah kunci kepada melahirkan modal insan dan generasi yang akan menjadi pemimpin masa depan Sarawak, katanya.
Beliau percaya Kerajaan Sarawak berusaha gigih merapat jurang transformasi digital khususnya dalam bidang pendidikan untuk memajukan masyarakat tanpa ada yang tercicir termasuk yang tinggal di pedalaman.